SharpShooter Followers

Saturday, September 18, 2010

Siapa yang paling layak Timbalan Presiden

Menjelang pemilihan PKR November ini, antara jawatan yang hangat diperkatakan ialah Timbalan Presiden, bukan Naib Presiden mahupun Presiden. Untuk jawatan Presiden tidak ada sesiapa yang dijangka bersedia mencabar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bagaimanapun Naib Presiden, dijangka menjadi gelanggang besar dengan awal-awal lagi Wanita PKR telah menamakan calon mereka.

Fokus calon jawatan Timbalan Presiden ini tertumpu kepada empat nama, iaitu dua Naib Presiden sedia ada YB Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub, dengan dua lagi nama masih bermain tarik tali. Tan Sri Khalid Ibrahim dari awal memukul canang beliau tidak berminat dengan jawatan tersebut, begitu juga Datuk Zaid Ibrahim. Cuma akhir-akhir ini Zaid memberikan mesej sedia bertanding jika Khalid menolak. Ini seolah-olah bermakna, antara Khalid dan Zaid, salah seorang mungkin akan bertanding jawatan Timbalan Presiden. Sebenarnya jika bukan dengan kemunculan Zaid yang memberikan pilihan antara beliau dan Khalid, mungkin timbul nama kelima, iaitu Tien Chua.

Berdasarkan kekananan dalam hierarki parti, Azmin dan Mustaffa dikira paling kanan. Azmin telah bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dalam kerajaan dan tidak pernah sama sekali meninggalkan Anwar. Malah boleh dikatakan segala rahsia Anwar di dalam kocek Azmin. Apatah lagi sebagai Naib Presiden, kekosongan jawatan Timbalan Presiden memang wajar diisi salah seorang Naib Presiden. Cuma Azmin lebih bernasib baik berbanding dengan Mustaffa walaupun Mustaffa lebih dahulu mengenali dan rapat dengan Anwar.

Sewaktu Anwar memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia, Mustaffa ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). PKPIM pada waktu itu antara pertubuhan pelajar paling kuat menyokong Anwar, baik semasa beliau dalam ABIM atau kerajaan. Cuma Mustaffa tidak begitu bernasib baik berbanding Azmin. Bagaimanapun, jika mahu mencari seorang lagi yang se acuan Anwar, dia ialah Mustaffa. Itulah kekuatan dan kelemahan beliau.

Kekuatan Mustaffa kerana beliau mempunyai sahsiah politik yang amat similar dengan Anwar dek kerana dilatih oleh Anwar. Sebab itu beliau berbicara seumpama Anwar, kadangkala juga berpakaian semacam Anwar pada zaman perjuangannya, dan bervisi sesuatu yang tulus dan amat jujur. Cuma dalam politik, tidak cukup hanya menyerupai dan berfikiran seperti bosnya. Dari segi pengalaman dan sepak terajang politik, Anwar jauh meninggalkan Mustaffa.

Mustaffa tidak bernasib baik kerana kalah dalam Pilihan Raya Umum 2008. Andai beliau menang, kerusi Menteri Besar Perak adalah haknya yang tidak dipersoalkan. Ketika Pakatan Rakyat terlibat dalam sesi panjang mencari calon Menteri Besar, nama beliau turut diusulkan walaupun beliau tidak memenangi kerusi DUN. Dikatakan bahawa dalam Perlembagaan Tubuh Negeri Perak, tidak tercatat seseorang itu perlulah ahli DUN. Bagaimanapun kerana situasi melantik bukan Ahli DUN sebagai Menteri Besar belum pernah berlaku, malah mendapat pelbagai bantahan, maka Mustaffa terkeluar daripada senarai calon akhirnya. Tanpa sebarang kerusi kuasa Mustaffa menjadi pemimpin sekunder dalam hierarki PKR. Apatah lagi beliau seorang loyalist Anwar yang tidak akan membantah apa sahaja disuruh Anwar. Kesetiaan yang mutlak kadangkala tidak dapat menonjolkan kewibawaan seseorang pemimpin.

Berbanding Mustaffa, Azmin dikatakan lebih pintar dan licik permainan politiknya, dalam bahasa Inggerisnya disebut ‘true political animal’. Beliau juga dididik Anwar, malah lebih mendapat didikan politik kerana bekerja rapat dengan Anwar. Maka beliau berupaya membina jaringan lebih hebat sejak dalam UMNO dahulu sehinggalah PKR ditubuhkan. Kelebihan Azmin bukan sahaja kerana kehebatannya berpolitik, malah lebih mempunyai sumber berbanding pemimpin PKR lain. Beliau mampu bergerak tanpa mendapatkan penajaan daripada sesiapa, malah dikatakan pandai menjaga pengikutnya. Ini membolehkan beliau mempunyai rangkaian lebih jauh, luas dan berkesan.

Mustaffa dan Azmin, dua manusia yang sama sekali berbeza. Mereka masih bersahabat baik, tetapi seteru politik di dalam parti. Masing-masing sentiasa cuba untuk menggembirakan ‘bos’ tetapi kelihatannya Azmin, walaupun Mustaffa lebih jujur dalam politiknya. ‘Bos’ PKR tahu bahawa Mustaffa boleh menjadi pemimpin yang baik seumpama Nik Aziz, tetapi tentu beliau juga tahu PKR memerlukan pemimpin lebih robust, tekal dan berani. Pada masa sama, PKR juga tidak mahu pemimpin yang dilihat terlalu ghairah untuk memegang jawatan sehingga dikhuatiri rakan komponen dalam Pakatan Rakyat. Malah jika Mustaffa tidak mencabar Azmin, awal-awal Tien Chua sudah memberikan amaran tidak akan mengizinkan Azmin menang percuma.

Dalam keterperangkapan PKR antara Mustaffa dan Azmin, timbul awalnya nama Khalid dan seterusnya Zaid. Sejak Khalid menjadi Menteri Besar Selangor sudah beberapa kali namanya ditimbulkan sebagai pilihan ketiga. Mengapa ada pilihan ketiga? Mungkin kerana PKR memerlukan seseorang yang lebih lengkap pakejnya berbanding dua nama tersebut. Cuma, adakah Khalid nama alternatif paling baik?

Khalid awal-awal sudah beberapa kali menolaknya. Dalam politik, jika seseorang mahu bertahan, dia harus memegang jawatan yang kanan dalam hierarki kepimpinan parti. Seawal Khalid menyertai PKR, beliau dilantik menjadi Setiausaha Agung, lalu kemudiannya Bendahari Agung pada waktu PKR dalam kesulitan dananya. Khalid dikatakan dapat membantu pendanaan PKR menjelang pilihan raya umum.

Khalid bernasib baik apabila menang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Ijuk. Andainya PKR mampu mengambil alih Kerajaan Pusat, Khalid adalah calon untuk Menteri Kewangan. Beliau masih bernasib amat baik kerana dengan kedudukan sebagai Bendahari PKR yang rapat dengan Anwar dan dianggap sebagai nama korporat besar, beliau memintas Azmin untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Ini kelihatan sesuatu yang kurang adil kepada Azmin, tetapi sebagai ahli politik yang bijaksana, Azmin mengambil jalan tengah untuk berdamai.

Khalid dinilai prestasinya sebagai Menteri Besar dan Ahli Politik. Ramai beranggapan sebagai ahli politik, beliau gagal kerana tidak ‘pandai’ menggembirakan penyokong. Kepimpinan politik yang berjaya, apabila berupaya membina kumpulan penyokong tegar di sekeliling yang akan menjadi pagar kepada beliau. Khalid adalah lone ranger dalam PKR walaupun beliau lebih disenangi rakan-rakan dalam Pakatan. Walaupun dilihat sebagai calon berwibawa dalam pengurusan kerajaan, ramai dalam PKR tidak menjangka beliau boleh menandingi Azmin dalam pemilihan Timbalan Presiden, malah kalau dilihat hubungan mesra akar umbi, Mustaffa jauh lebih baik.

Apabila Zaid menyertai PKR, beliau dilihat sebagai calon paling ideal untuk mengambil alih kepimpinan dalam Pakatan Rakyat andainya apa-apa terjadi kepada Anwar. Dalam saf kepimpinan Pakatan Rakyat, Zaid lebih mudah diterima walaupun awalnya akar umbi dalam Pas sukar menerimanya. Cuma Pas adalah parti yang patuh kepada kepimpinan mereka, lalu apabila kepimpinan Pas menerima Zaid, maka pengikut mereka menerimanya. Apatah lagi Zaid dikatakan bukan lagi Zaid pada zaman UMNOnya walaupun tag liberalnya masih kuat terlekat.

Dari segi kecerdikan berpolitik dan kemampuan sumber, Zaid setanding Azmin, hatta sumbernya jauh lebih besar daripada Azmin. Zaid berupaya memberikan saingan kuat kepada Azmin. Kekurangan Zaid ialah kerana beliau masih baru dalam PKR dan belum mengenal sepak terajang dalam PKR sepenuhnya. Persaingan dalam PKR berbeza dengan persaingan dalam UMNO, apatah lagi dengan pengenalan kaedah baru dalam PKR yang memberikan suara dan undi kepada umbi dengan pengundian melibatkan semua cabang dalam PKR. Akhirnya antara Mustaffa, Azmin, Khalid dan Zaid; siapakah akan menjadi pilihan ahli-ahli PKR? Bagaimana dengan peranan Anwar, sama ada akan memberikan isyarat atau tidak siapa calon pilihannya? Sukar terjadi persaingan empat penjuru, paling-paling tiga atau dua. Akan ada berlaku kompromi dengan calon-calon consolidate di bawah seorang calon, cuma nama yang pasti tidak menarik diri dan tidak bersekutu dengan mana-mana calon lain ialah Azmin. Mustaffa mungkin nanti akan melihat bagaimana Khalid dan Zaid membuat keputusan, sama ada beliau ‘join the wagon’ atau membuat keputusan ‘if you cant beat them, join them’. - Ishak Hamzah

Sharpshooter :- Jom Undi calon Timbalan Presiden di Blog Sharpshooter...
Sementara untuk calon Ketua AMK, Chegu Bard terus mendahului..


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/