SharpShooter Followers

Wednesday, September 22, 2010

Apa dah jadi dengan SPR....

Dzulfikar Mashoor

PETALING JAYA, 22 Sept: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menganggap kenyataan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang, Morat Pora, semalam tidak masuk akal.

Anggapan itu berhubung ketetapan terbaru SPR, iaitu pengundi yang baru mendaftar tahun ini tidak layak mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) diadakan pada tahun depan.

"Kenyataan itu adalah tidak masuk akal memandangkan proses pendaftaran pemilih baru oleh SPR itu memerlukan empat fasa dalam setahun," ujarnya pagi tadi ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut bekas Ketua Strategik PKR itu; suku pertama adalah dari bulan Januari hingga Mac; suku kedua (April hingga Jun); suku ketiga (Julai hingga September); dan suku tahun keempat (Oktober hingga Disember).

"Ertinya, yang mendaftar pada bulan Januari hingga Mac tahun ini, nama mereka itu telah dipamerkan pada suku kedua tahun ini.

"Apabila dipamerkan, diteliti serta melalui proses bantahan dan sebagainya, maka sepatutnya pada suku ketiga patut nama mereka sudah ada dalam daftar pemilih induk, maknanya mereka boleh ambil bahagian sebagai pengundi baru," ujarnya.

Disebabkan itu, beliau menyuarakan rasa curiga dengan ketetapan terbaru yang dibuat Morat itu kononnya proses pengesahan satu-satu daftar pemilih memakan masa lebih empat hingga lima bulan.

Katanya lagi, masalah mengemaskini daftar pemilih adalah masalah pengurusan SPR disebabkan tidak mengikut jadual memproses daftar pemilih baru seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Maka, masalah SPR itu, menurut beliau tidak wajar sehingga menghalang hak pengundi baru, khususnya di kalangan pengundi muda untuk menentukan kepemimpinan negara terbaik pada tahun depan.

"Kenyataan terbaru ini sudah tentu tidak mampu memadam persepsi rakyat, pertama SPR dilihat sebagai sebuah badan yang berpihak pada Umno BN.

"Kedua, SPR nampaknya mengukuhkan apa yang kita percaya selama ini bahawa pengundi baru, khususnya pengundi muda nampak seakan tidak berpihak kepada parti-parti pemerintah pada pilihan raya nanti."

Lanjutan itu, beliau menggesa SPR supaya tidak mengulangi kesilapan sebagaimana yang pernah berlaku pada PRU10.

"Pada pilihan raya Umum (tahun) 1999 dulu, perkara ini pernah berlaku di mana lebih 700 ribu pengundi baru tidak dapat mengambil bahagian pada zaman reformasi ketika itu akibat kelembaban pengurusan SPR dalam menguruskan pendaftaran pemilih baru," beliau menambah.

Tegasnya lagi, jangan disebabkan mahu memuaskan kepentingan politik parti-parti pemerintah, SPR sanggup bersikap tidak adil dan demokratik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang mencadangkan kepada ahli parlimen pembangkang dan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat supaya segera mengatur pertemuan dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk mendapatkan maklum balas lanjut berhubung ketetapan terbaru itu.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/