SHAH ALAM 8 Sept - Program Debat Calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat yang akan diadakan 18 September depan dilihat sebagai platform bagi ahli sayap parti tersebut membuat penilaian mereka terhadap kualiti dan nilai bakal calon yang akan beradu nasib untuk merebut jawatan Ketua AMK Pusat.
Debat anjuran badan bukan kerajaan, Ureka yang akan berlangsung 18 September depan di Taping, Perak memberi peluang kepada ahli AMK untuk mendengar idea calon terbabit berhubung falsafah perjuangan yang mereka galas dalam usaha menuju ke Putrajaya.
Salah seorang calon yang disebut-sebut berminat bertanding untuk jawatan Ketua AMK Pusat, Hasmi Hashim berkata beliau mengalu-alukan penganjuran sedemikian. "Debat berkenaan merupakan program pertama kali yang melibatkan pertandingan tertinggi sesebuah parti dalam sejarah politik tanahair.
"Saya berasa bertanggungjawab hadir apabila cadangan mengadakan debat sedemikian datangnya daripada saya sendiri ketika kempen bertanding jawatan sama kira-kira tiga tahun lalu dalam Kongres AMK di Seremban. Pentas berkenaan akan saya gunakan sebaiknya untuk mengemukakan agenda dan gagasan terbaik untuk masa depan AMK dan anak-anak muda Malaysia.
"Saya mengalu-alukan kehadiran anggota-anggota AMK seluruh negara ke debat tersebut bagi menilai kualiti kepimpinan yang dipapar agar mereka dapat membuat penilaian terbaik. Pemimpin tertinggi AMK seharus mempunyai gagasan jelas bagi memunggah sokongan bukan hanya daripada kalangan anggota AMK, tetapi anak muda keseluruhannya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13," kata Hasmi yang juga Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong, Johor dalam satu kenyataan Isnin lalu.
Melalui tema perjuangan beliau, “Agenda Politik Madani”, Hasmi berharap agar debat ini dapat dianjurkan di seluruh negara sebelum proses pemilihan berlangsung.
Ini bagi memberi ruang kepada anggota AMK untuk membuat keputusan yang rasional dan bukan berasaskan emosi, sentimen atau arahan.
"Dengan jayanya program bersejarah ini membuktikan bahawa KEADILAN adalah sebuah parti yang bukan sahaja bersifat demokratik, tetapi menyediakan pentas ke arah nilai demokrasi berkenaan," kata beliau lagi.
Sementara itu, Chegu Bard, Shamsul Iskandar dan Rafizi telah menyatakan kesediaan mereka untuk hadir berdebat yang bakal mencipta sejarah besar dan membawa landskap politik baru di Malaysia.
Sharpshooter :- Apakah akan ada debat seumpama ini untuk calon Timbalan Presiden?
Tindakan AMK menerajui dan mempelopori debat sepentas untuk semua calon Ketua AMK adalah satu langkah yang berani dan wajar diberi pujian dan ikutan.
Sementara itu, tinjauan blog Sharpshooter dan Pahang Daily, Chegu Bard mendahului semua calon.
"Tolak calon Mee Segera"
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/