SharpShooter Followers

Wednesday, October 20, 2010

Anak muda kini bebas maklumat

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sambil menegaskan falsafah politik “kerajaan tahu semua” sudah pun berlalu berkata, politik kontemporari juga tidak lagi mengizinkan kerajaan dan parti-parti politik khususnya Umno bergantung kepada “politik teka-teki.”

Malah tegas beliau, kebangkitan pengundi muda menuntut cara dan hala tuju baru dan mereka juga tidak boleh disumbat dengan propaganda berat sebelah.

Dengan mengetengahkan kedudukan pengundi muda dalam bentuk statistik pada pilihan raya umum ke-13, Khairy merujuk politik teka-teki sebagai strategi dicongak hasil telahan sendiri tanpa merujuk kepada pandangan dan buah fikiran kumpulan sasar.

“Kita mesti menerima hakikat bahawa pengundi muda sekarang boleh menilai antara retorik dan servis, wayang tinggi atau usaha yang jujur dan ikhlas,” katanya.

Khairy mengingatkan perwakilan Pemuda Umno bahawa kira-kira 80 peratus atau hampir tiga juta daripada pengundi baru pada pilihan raya umum akan datang terdiri daripada pengundi muda.

Peratus undian mereka dijangka naik daripada 41 peratus pada pilihan raya umum ke-12 kepada 49 peratus pada pilihan raya umum ke-13.

Kata beliau, ia selari dengan dapatan kajian kita yang menyatakan bahawa 75 peratus orang muda merancang untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang. Pada masa yang sama, kajian Pemuda BN juga mendapati bahawa 62 peratus daripada mereka adalah kelompok atas pagar yang hanya akan memilih parti dan calon yang dianggap terbaik.

Justeru kata beliau, apa yang diperlukan hari ini adalah politik yang berteraskan pemikiran dan idea.

“Gelanggang siasah semasa tidak lagi memberi ruang kepada pertembungan kuasa semata-mata tetapi juga persaingan minda dan pertempuran idea – ‘a battle of ideas’,” kata beliau ketika berucap Persidangan Pergerakan Umno hari ini.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyddin Yassin malam tadi.

Tegas beliau, suka tak suka, mereka yang mencabar ideologi politik Umno atau kerajaan perlu kita depani di pentas politik yang bertunjangkan ilmu, agar mereka dapat kita tewaskan dengan kekuatan hujah dan ketajaman intelek, bukannya bergantung kepada kuasa eksekutif semata-mata.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, anak-anak muda sekarang lebih gemar disajikan dengan pilihan politik yang menguji daya fikiran mereka.

“Penyebaran maklumat melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter sudah menjadi alternatif pilihan kepada media massa tradisi.

“Terdapat hampir 8.5 juta pengguna Facebook di Malaysia dan 84 peratus daripada mereka dalam lingkungan usia 35 tahun ke bawah.

“Pemikiran mereka dibentuk bukan melalui kenyataan atau ulasan Menteri dalam Buletin Utama atau Warta Perdana tetapi melalui apa yang mereka lihat dan dengar dalam YouTube yang tidak boleh dikawal atau dipengaruhi,” katanya lagi.

Khairy juga menambah, dunia anak muda begitu berbeza sekali di mana pada hari ini “dunia mereka dunia siber; dunia yang dipenuhi pelbagai maklumat dan interaksi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.”

Justeru, Khairy menegaskan, usaha mendampingi mereka juga mesti melalui pendekatan berpaksikan pemikiran dan pandangan yang lebih kritis dari era dahulu.

“Kita tidak boleh menyumbat mereka dengan propaganda berat sebelah,” katanya.

Sebaliknya tambah beliau, Umno perlu mengamalkan budaya inklusif yang menghargai partisipasi belia dan remaja dan bukan lagi budaya politik dari atas ke bawah.

“Anak-anak muda ini mempunyai idealisme dan pandangan tersendiri dan cara untuk memenangi hati golongan ini adalah dengan melibatkan mereka secara langsung dalam proses pembinaan negara,” katanya.

Sharpshooter - Tahun 2010 adalah tahun kebangkitan anak muda terutamanya mahasiswa yang amat merisaukan umno dan b-end.

Mereka kini lantang bersuara dan akan turun ke Galas untuk ambil bahagian dan berkempen. Inilah jiwa anak muda yang sudah merdeka. Mereka tahu yang mana benar dan yang mana palsu tanpa mengira parti politik mana sekali pun. Katakan benar walaupun pahit.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/