SharpShooter Followers

Monday, October 11, 2010

TS Khalid umum tanding timbalan presiden adakah Zaid akan kotakan janjinya?

October 10, 2010
Khalid Ibrahim dengan diapit Syed Shahir Syed Mohamud (dua dari kiri) dan Elizabeth Wong mengumumkan keputusan mahu bertanding jawatan timbalan presiden PKR di kediaman rasminya di Shah Alam semalam

SHAH ALAM, 10 Okt — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini - pemimpin ketiga mengesahkan pendirian turun gelanggang kerusi nombor dua.

Dua yang lain telah pun mengesahkan keputusan bertanding ialah Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub yang masing-masing merupakan naib presiden PKR.

Turut dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden ialah Datuk Zaid Ibrahim, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Zaid yang disebut-sebut akan bertanding kerusi ini, minggu lalu menyatakan kesediaan memberi laluan kepada Nurul Izzah jika bersedia bersaing jawatan timbalan presiden.

Kesemua mereka yang dicalonkan mempunyai masa sehingga 16 Oktober ini untuk mengesahkan penerimaan pencalonan.

“Saya, Abdul Khalid Ibrahim, hari ini dengan rasminya menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti yang akan berlangsung November ini,” kata beliau pada sidang media di kediamannya hari ini.

Kata Khalid, ramai yang mungkin tertanya mengapa beliau mahu masuk bertanding dalam pemilihan yang telah banyak menerima persepsi negatif dalam laporan media dan dalam parti sendiri.

“Saya melihat apa yang berlaku menampakkan kepimpinan berpuak dan serangan peribadi,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini menambah, seperti yang beliau katakan minggu lalu, perkembangan ini tidak sihat untuk parti dan perlu diperbetulkan.

“Sebagai salah seorang pemimpin parti dan Menteri Besar negeri Pakatan Rakyat, saya akan cuba memperbetulkan keadaan ini.

“Dan, kerana inilah, saya mengambil keputusan untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti.

Bagaimanapun, kata Khalid, beliau mahu memastikan keputusannya memberi kesan positif kepada parti.

“Untuk ini, saya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menilai kesan tawaran bertanding kepada pentadbiran dan perpaduan parti,” kata beliau.

Bekas pengerusi PKR Selangor ini menambah, jawatankuasa itu terdiri daripada Syed Shahir Syed Mohamud, Irene Fernandez, Tian Chua dan Dr Muhamad Nur Manuty dan mereka ini bebas mengadakan rundingan dengan pemimpin parti yang berkaitan sehingga 15 Oktober.

Tempat beliau sebagai pengerusi negeri telah digantikan dengan Azmin.

“Sekiranya jawatankuasa menasihatkan tawaran saya ini tidak baik untuk parti dan ada cara yang lebih baik untuk saya berkhidmat kepada parti, saya akan akur dengan nasihat ini.

“Jika Jawatankuasa ini berpendapat tawaran saya baik untuk parti, saya telah pun menggariskan lima teras perjuangan bertemakan “Memperkasakan Reformasi”,” katanya.

Khalid turut gelanggang pemilihan dengan lima teras iaitu setia kepada perjuangan, meneruskan agenda perubahan, merakyatkan ekonomi, menolak politik pecah perintah dan kesepaduan parti.

Syed Shahir yang juga ketua cabang Kelana Jaya berperanan sebagai pengurus operasi kempen Khalid.

“Saya percaya beliau boleh menolong kempen saya berjalan dengan sistematik, bersih, professional dan adil.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti yang telah hadir untuk memberi sokongan dan semangat kepada saya untuk memastikan parti Keadilan terus berjuang di landasan yang betul,” katanya lagi.

Kata Khalid, lima teras itu akan mencorakkan pentadbiran inklusif dan mengakhiri amalan berkumpulan dan berpuak-puak dalam parti.

“Ini adalah pemilihan terakhir sebelum pilihan raya umum, jadi kita perlu pilih pemimpin yang berkualiti dan memperkukuhkan kepimpinan parti.

“Hanya dengan ini laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya akan menjadi realiti. Jadi PKR perlu mencorakkan laluan ke sana,” kata Khalid.

Khalid juga mencadangkan supaya 30 peratus pemimpin wanita dikemukakan untuk kepimpinan parti.

Tokoh korporat yang memulakan tugas dalam PKR sebagai bendahari agung itu juga kecewa dengan sikap sesetangah pemimpin yang sudah melupakan maksud sebenar reformasi dan dilihat mula menjatuhkan antara satu sama lain.

“Sudah ada pemimpin kita lupa akan tanggungjawab kita dalam memperjuangkan reformasi.

“Saya dapati pemimpin mula menjatuhkan antara satu sama lain hanya kerana mahu memimpin. Mana perjuangan sebenar kita yang selama ini memperjuangkan reformasi?

“Kenapa sanggup membunuh antara satu sama lain? Bukankah kita ini keluarga?” katanya.

Khalid berkata, perjuangan PKR bukan untuk satu tempoh yang singkat tetapi untuk jangka masa yang panjang.

“Kita bukan mahu berpolitik untuk satu hari, bukan untuk satu tahun tetapi kita mahu mengubah politik Malaysia yang sudah berusia 50 tahun.

“PKR adalah parti reformasi yang tidak takut dan berani untuk menghadapi apa jua keadaan.

“Jadi saya sahut cabaran harapan reformasi, saya mesti menentukan kejayaan parti, parti ini mesti berjaya. Parti ini mempunyai harapan dan mula disanjung rakyat, jadi kita perlu teruskan reformasi ini,” katanya.


Sharpshooter - Lawan jangan tak lawan...teringat kata Saifudin, Parti ini didikannya atau tarbiahnya LAWAN TETAP LAWAN amat berkesan hingga semuanya nak lawan termasuk Anwar dan parti..

Anwar sebenarnya telah berjaya melahirkan ribuan Anwar sebab itu semuanya nak lawan macam Anwar Sivagi The Boss...

Ada wanita Keadilan akan usulkan di Kongress agar slogan Lawan tetap Lawan ditukar sebab kata mereka susah sebab semua nak lawan.

Teringat janji Zaid yang berjanji tidak akan lawan timbalan presiden jika Tan Sri Khalid atau Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden. Adakah Zaid akan kotakan janjinya. Adakah ini juga bermakna Zaid akan lawan Presiden? Zaid pasti kecundang jika melawan Wan Azizah atau Anwar Ibrahim. Sebenarnya Zaid sudah kena pukulan maut sebab terlalu meraban sejak kebelakangan ini.

Azmin sudah pasti gusar dan tidur tak lena serta mandi pun tak basah. Mimpi buruk buat Azmin bila TS Khalid umum untk bertanding jawatan timbalan presiden.

Ramai juga yang bertanya sharpshooter, hang pilih siapa, kami tau la hang pilih Chegubard untuk Ketua AMK Pusat tetapi untuk timbalan presiden, hang pilih siapa?

Jawabnya mudah...siapa juga yang menang..itulah Timbalan Presiden yang sebenar yang dipilih oleh Ahli Keadilan.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/