SharpShooter Followers

Saturday, October 23, 2010

Memo Taubat untuk Rosmah

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi mendesak agar isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor supaya segera menarik diri daripada menjadi Penaung Festival Busana Islam yang dikatakan telah menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW ketika pertunjukan yang diadakan di Monte Carlo pada Ogos lalu.

Dalam kenyataan yang dipanggil 'Memo Taubat' yang ditujukan kepada Rosmah, Nasrudin berkata tindakan isteri Perdana Menteri menaungi acara yang telah menghina Nabi cukup meninggalkan kesan jengkel dan kesal dalam jiwa umat Islam yang prihatin.

"Ini satu tindakan yang cukup memalukan, jahil lagi berniat jahat terhadap ajaran Islam yang suci ini. Lebih-lebih lagi penganjurannya dinaungi oleh orang besar negara.

"Bukan sahaja pakaian yang diperagakan ini bertentangan dengan prinsip pakaian Islam, lebih malang mereka berani menghina Rasulullah SAW dengan melakarkan nama baginda di pakaian yang sedemikian .

"Jika bukan niat menghina Islam, tindakan apakah seperti ini? Sungguh memalukan. Saya tidak jangka mereka sejahil itu, sehingga tidak mengetahui bagaimanakah bentuk pakaian Islam yang sebenarnya, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah an Nuur ayat 31:

'Katakan kepada orang-orang perempuan yang beriman, supaya mereka merendahkan pandangannya dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka melabuhkan tudung hingga ke bawah dadanya .

'Janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali kepada suaminya, bapanya, bapa suaminya, anaknya, anak suaminya, saudaranya, anak saudaranya yang lelaki, anak saudaranya yang perempuan, perempuan muslimah, hamba sahayanya, orang-orang yang mengikutnya daripada kalangan lelaki yang tiada syahwah kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan.

'Jangan mereka berjalan sambil menggoyangkan kakinya supaya diketahui orang perhiasan yang tersembunyi. Bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah wahai orang- orang yang beriman mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan',".

Nasrudin menegaskan sebagai isteri pembesar negara, Rosmah telah diberikan peluang oleh Allah SWT menjadi orang penting dan berpengaruh dalam negara ini sementara suaminya adalah orang bertanggungjawab memimpin negara sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata adalah malang jika kedudukan yang dimiliki membawa beliau jauh daripada Allah SWT apalagi secara terbuka menentang syariat Allah SWT.

"Datin Seri Rosmah boleh memilih untuk bersyukur kepada Allah SWT disamping segala keistemewaan dan kemewahan yang dimiliki, tetapi kenapa Datin Seri memilih untuk ingkar dan mempersenda Nabinya SAW melalui tindakan Datin Seri menaungi Islamic Fashion Show yang jelas bertentangan dengan Islam dan pula menghina Rasulullah SAW melalui satu khat nama Rasul yang ditulis secara terbalik pada pakaian murahan sebagaimana yang terdapat di dalam gambar?

"Memandangkan Datin Seri Rosmah cukup berkuasa dalam negara ini, kenapalah tidak dijadikan kuasa yang dimiliki itu benar-benar memartabatkan Islam. Islamic Fashion Show adalah satu idea yang bijak tetapi malang salah pakaian yang di peragakan. rm7

"Bukan begitu pakaian Islam. Jika Datin Seri keliru , bagaimanalah pakaian Islam yang sebenarnya, Datin Seri boleh merujuk kepada para mufti yang ramai dalam negara kita atau paling tidak Datin Seri boleh merujuk kepada 40 ulama muda yang baru-baru telah dirai dengan hebat lagi berprestij dikala mereka menyertai parti yang dipimpin oleh suami Datin Seri.

"Justeru itu saya melihat jahil bukan alasan dan isunya di sini. Saya bimbang benar Datin Seri bersekongkol dengan pihak musuh-musuh Islam untuk menghina dan mempersendakan Islam lalu menjadikan Datin Seri sebagai boneka. Namun saya harap tidak begitu, sebaliknya apa yang saya harap ialah Datin Seri kembali kepangkal jalan dan bertaubat kepada Allah Azza wa Jalla terutama saat usia kita telah hampir ke penghujung," nasihat Nasrudin kepada Rosmah.

Nasrudin juga menasihatkan Rosmah agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan dan segera bertaubat dam meminta ampun atas dosa yang dilakukan.

"Biarpun Datin Seri kelihatan masih sihat, muda, kaya dan berharta, namun suka saya mengingatkan kata-kata hikmah yang selalu dilafazkan oleh Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa mati tidak syarat sakit dan mati juga tidak syarat tua. Sementelah jika kita selalu sakit dan usia pula telah meningkat tua.

"Datin Seri berdepan dengan amanah ummah. Datin Seri masih ada ruang dan peluang untuk berbakti kepada ummah dan mentaati Allah Azza wa Jalla.

"Pertama, janganlah diulang lagi kesilapan serupa. Tarik diri dari terus menaungi program mungkar seperti penganjuran Islamic Fashion Show yang menghina Islam dan mengelirukan ummah.

"Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia bahkan seluruh ummat Islam yang terkilan dengan tindakan yang diambil oleh Datin Seri dalam menaungi program mungkar ini dan sangat berharap agar Datin Seri kembali menyusur pulang ke pangkal jalan dan insyaAllah tidak hilang bisa ular dek kerana menyusur akar sebaliknya tawar ilmu sang pendita dek kerana menyusup laku," ujar beliau lagi.

Nasrudin juga menyentuh mengenai peruntukan RM111 juta yang diperolehi Rosmah dalam Belanjawan 2010 bagi membiayai program Permata.

"Baru-baru ini Datin Seri Rosmah berjaya mempengaruhi suami untuk menganugerahkan RM111 juta bajet negara kepada Permata sebagai satu badan yang dipimpin oleh Datin Seri. Kini Datin Seri memiliki segalanya selain suami, iaitu harta dan takhta. Kemungkinan juga ia menjadikan Datin Seri Rosmah sebagai orang paling berkuasa di negara ini.

"Namun kuasa bukanlah tiket untuk Datin Seri berbuat sesuka hati terutama terhadap agama Islam yang suci ini kerana ia adalah agama milik Allah SWT Tuhan yang Maha Berkuasa. Tuhan yang memberi sedikit harta dan takhta kepada Datin Seri. Allah SWT berhak dan mampu pada bila-bila masa sahaja menarik kembali segala nikmat yang dikurniakan justeru segala nikmat itu hanya ujian untuk melihatnya hambaNya bersyukur kepadaNya atau kufur.

"Melalui Permata yang dipimpin oleh Datin Seri, setelah memiliki peruntukan sedemikian banyak dari bajet negara (RM 111 juta), mengatasi peruntukkan Sekolah Agama Rakyat (RM 95 juta) dan peruntukan rakyat marhain, Datin Seri sewajarnya manafaatkan anugerah tersebut untuk berbakti kepada agama, negara dan bangsa seperti mempertingkatkan bantuan pendidikan kepada pelajar luar bandar yang rata-ratanya tidak bernasib baik kerana faktor kemiskinan .

"Juga membantu ibu tunggal dan anak-anak yatim di seluruh negara tanpa mengira dari parti manakah mereka warisi kemiskinan itu. Jadilah ibu kepada semua rakyat bukan hanya ibu kepada golongan bangsawan dan kenamaan. Rendahkan sayap untuk turun bersama rakyat, bukan hanya singgah dan berpaut di istana hinggap .

"Andai Datin Seri terbaca atau membaca Memo Taubat yang saya hantar buat tatapan Datin Seri di alam cyber lalu ini, saya harap Datin Seri tidak marah kepada saya. Justeru saya hanya menyeru agar Datin Seri kembali kepangkuan Islam dengan melaksanakan suruhan Allah SWT seperti menutup aurat lalu bertaubat kepada Allah SWT atas kesalahan silam. Lantas pimpinlah tangan suami Datin Seri ke arah jalan yang betul agar ia menjadi Perdana Menteri yang juga taat kepada Allah SWT.

"Bicara atau Memo Taubat yang saya nukilkan ini memang tidak sedap di dengar oleh Datin Seri berbanding bisikan-bisikan para penasihat istana Datin Seri yang senantiasa mengampu dan memuji. Percayalah, kata-kata itu bukan kerana mereka kasihkan Datin Seri tetapi menjadikan Datin Seri lupa diri dan semakin angkuh di puncak bumi," Nasrudin mengingatkan Rosmah.

Sharpshooter - Menanti suara 40 ulama muda dan Mufti Dato' Harussani.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/