SharpShooter Followers

Saturday, October 23, 2010

Masih ada suara perkauman dalam Keadilan?

Calon Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Chang Lih Kang hari ini membidas pihak yang mengambil kira warna kulit sebagai kriteria pemilihan calon-calon yang bertanding dalam Pemilihan Keadilan 2010.

Chang juga menganggap pihak yang berpendirian demikian sebagai membelakangkan prinsip parti untuk memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat Malaysia tanpa meminggirkan mana-mana pihak dan tidak harus berada di dalam Keadilan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja berkata demikian ketika mengulas tentang mereka yang mempersoalkan tindakan calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin memilih beliau,

seorang yang berbangsa Cina, sebagai gandingannya. "Selain dari segi prinsip, ahli parti haruslah memilih pemimpin berdasarkan kebolehan dan daya kepimpinan seseorang calon. Memilih pemimpin berdasarkan warna kulit, itu bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkan parti," kata beliau.

Beliau juga menyamakan tindakan memilih pemimpin berdasarkan kaum merupakan tindakan yang tidak membawa kesan positif kepada parti sebaliknya hanya membawa parti semakin mundur kebelakang.

Terlibat sebagai aktivis hak asasi manusia

Beliau yang pernah terlibat sebagai aktivis hak asasi manusia ketika bersama Suaram sebelum ini pernah ditahan polis apabila mempertahankan rumah penduduk Melayu di Kampung Berembang dari dirobohkan. Kita imbau semula video Kg Berembang yang menyayat hati.


"Saya adalah seorang ‘colour blind’ dalam memperjuangkan isu-isu keadilan dalam masyarakat hinggakan pernah ditahan polis gara-gara mempertahankan rumah orang-orang Melayu di Kampung Berembang dari dirobohkan.

"Yang penting, hak mereka harus ditegakkan bukan kerana warna kulit mereka tetapi kerana hak mereka sebagai rakyat Malaysia dan manusia amnya," ujar beliau ketika mengulas isu perkauman dalam Keadilan.

Selain kejadian di Kampung Berembang, beliau juga terlibat dalam beberapa isu lain berkaitan dengan isu-isu kemanusiaan dan keadilan ketika bersama Suaram yang membabitkan kepentingan beberapa kelompok masyarakat tanpa mengira kaum.

Matlamat dalam AMK jika menang

Berhubung jawatan Timbalan Ketua AMK yang ditandinginya, beliau memberitahu bahawa beliau dan Badrul Hisham (atau dikenali sebagai Chegu Bard) akan memfokuskan kepada kerja-kerja untuk membangunkan semula AMK di seluruh cabang-cabang yang ada.

"Jika saya dan Chegu Bard memenangi jawatan yang kami tandingi, kami akan kerap turun ke cabang-cabang untuk mengwujudkan cabang AMK baru atau mengaktifkan semula cabang yang telah wujud tetapi mati.

"Pada masa ini banyak cabang AMK yang tak aktif, mati. Ketua yang ada sekarang bukanlah tidak pernah turun ke Cabang. Ada juga, tetapi lebih menumpukan kegiatan berceramah berbanding membangunkan cabang AMK," kata beliau lagi.

Selain itu beliau juga menjelaskan bahawa calon-calon AMK yang telah sepakat berkongsi manifesto Anak Muda Malaysia yang bertemakan Penerus Momentum Reformasi telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa memilih Ketua AMK Negeri kepada cabang-cabang bagi mengatasi masalah yang sama.

Apabila ditanya tentang kemungkinan tugas beliau sebagai Adun Teja akan terganggu jika memenangi jawatan Timbalan Ketua AMK, dengan berseloroh beliau menjawab, "saya kena bijak membahagikan masa untuk AMK dan Dun saya, tetapi yang pasti masa untuk ‘girlfriend’ kena korbankan".



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/