SharpShooter Followers

Sunday, October 10, 2010

Rahimi 'c4' terbaru Rosmah Najib

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub menegaskan, musuh Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menggunakan bekas pembantunya Rahimi Osman sebagai “bom jangka C4” untuk membunuh karakter politik ketua pembangkang itu selepas “gagal” mempergunakan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Rabu lalu, Rahimi mendakwa dia telah dipaksa oleh pemimpin dan peguam PKR agar menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008 untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat melibatkan Anwar sekarang.

“Dalam firasat saya, kalau Saiful Bukhari gagal dijadikan sebagai peluru hidup untuk membunuh Anwar, Rahimi dengan apa cara sekalipun mesti dijadikan bom jangka C4 untuk membunuh karakter Anwar,” kata Mustaffa dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Oleh itu kata Mustaffa, beliau melihat konspirasi terbaru melibatkan Rahimi ini tidak patut dipandang remeh oleh semua pihak, terutama rakyat.

“Kita sudah tahu, Rahimilah dalang membawa Saiful Bukhari menjadi salah seorang pegawai khas Anwar.

“Tetapi, persoalan yang lebih penting yang tidak pernah kita semua perbincangkan, siapakah yang membawa Rahimi masuk ke ibu pejabat PKR dan menjadi pegawai khas Anwar?” kata beliau.

Calon timbalan presiden PKR ini menambah, alangkah liciknya mainan pembesar-pembesar Umno sehingga anggota parti pun tidak dapat menghidu rancangan busuk dan tidak bermaruah ini.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam, Rahimi sambil mempertahankan tindakannya mempertikaikan status dua akuan bersumpah yang menurutnya telah dipaksa menandatanganinya dua tahun lalu menegaskan, dia tidak berniat mahu mengganggu kes liwat kedua dilalui Anwar, yang juga penasihat PKR, sekarang.

Bekas pembantu Anwar itu yang dihubungi The Malaysian Insider hari ini berkata, dia hanya mahu membetulkan “kesilapan” yang dia telah lakukan sebelum ini.

“Saya tiada niat untuk mengganggu perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya juga tiada hak untuk menuduh Anwar atau Saiful bersalah ataupun membuat tuduhan-tuduhan palsu,” kata Rahimi.

“Saya hanya membuat laporan ini kerana saya mahu membetulkan kesilapan-kesilapan masa lalu,” kata Rahimi.

Rahimi mendakwa dia telah dipaksa mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes liwat Anwar dengan menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008.

Rahimi mendakwa dia telah dipaksa oleh peguam-peguam Anwar termasuk Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya.

Rahimi berkata dia telah dipaksa menandatangani akuan bersumpah pada 28 Jun 2008, yang mendakwa Najib dan Rosmah mendalangi konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful.

Dalam kenyataan hari ini, Mustaffa yang juga Pengerusi Akademi Latihan PKR menambah, selepas ini beliau sangat yakin orang-orang Najib-Rosmah akan tuduh parti ini tidak bermaruah dan bermasalah.

“Saya sangat yakin orang-orang Najib mahu rakyat melihat parti ini sudah didalangi dalang-dalang politik busuk yang bermasalah.

“Angkat Politik Nilai, tolak dalang politik busuk seperti ‘arwah’ Rahimi dan ‘arwah’ Saiful Bukhari!” katanya lagi.

Mustaffa juga yakin Najib dan Rosmah tidak akan tampil mempertahankan diri apabila Rahimi memburuk-burukkan parti PKR dan peribadi Anwar.

“Saya sangat yakin Najib dan Rosmah terlibat dalam konspirasi ini,” katanya.

Mustaffa juga yakin kenyataan Rahimi menuduh Latheefa dan Saiful Izham Ramli memaksanya menamakan Najib-Rosmah dalam akuan bersumpah keduanya itu semata-mata untuk melindungi kepentingan Najib-Rosmah.

“Rakyat dan anggota parti mahu diperbodohkan lagi dengan memadamkan nama kedua-dua peribadi misteri ini.

“Tidakkah kita hairan Rahimi boleh menafikan akuan bersumpahnya selepas dua setengah tahun beliau membuat akuan itu?

“Tidakkah kita hairan, mengapa Rahimi beriya-iya memadamkan nama Najib-Rosmah dalam akuan bersumpahnya sekarang?” kata beliau sambil menambah, tidakkah “kita hairan, mengapa Najib-Rosmah begitu berdiam diri dan sangat defensif walhal Rahimi bermati-matian cuba memadamkan nama kedua-dua peribadi itu dalam akuan bersumpahnya.”

Katanya, beliau yakin Rahimi dipaksa membuat tuduhan itu agar rakyat tidak terus menganggap Najib-Rosmah terbabit dalam mencatur Saiful mengenakan Anwar.

Beliau mendakwa mereka mahu Anwar ke penjara dengan apa cara sekalipun kerana Umno sendiri percaya Anwar mampu membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya.




* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/