SharpShooter Followers

Monday, October 18, 2010

Hormati keputusan Rafizi dan 'Generasi Reformasi'

SHAH ALAM 17 Okt - Calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli serta tim Generasi Reformasi yang didokongnya membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasrat untuk bertanding bagi jawatan tersebut berdasarkan kepada pertimbangan bahawa Pilihan Raya Umum 13 semakin hampir dan pelbagai persediaan mendesak perlu diberikan perhatian segera.

Bagaimanapun Rafizi yang juga Ketua Pegawai Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkata beliau berpuas hati kerana sepanjang tempoh kempen pemilihan beliau dan pasukan regunya telah berjaya mesej kesinambungan reformasi kepada akar umbi.

"Generasi Reformasi memulakan kempen dengan objektif utama untuk membawa isu-isu dan program utama yang perlu diangkat AMK untuk sampai ke Putrajaya. Ini termasuklah menjaguhi isu-isu yang dekat dengan anak muda, fokus kepada pembinaan organisasi dan menyiapkan barisan pimpinan muda yang baru.

"Sepanjang kempen, kami telah tekankan bahawa matlamat akhir Generasi Reformasi bukanlah untuk merebut jawatan tetapi memastikan barisan kepimpinan baru AMK mengambil kira isu-isu dan program utama ini. Tanpa penglibatan Generasi Reformasi dalam pemilihan kali ini, besar kemungkinan kempen pemilihan berkisar sekitar individu dan bukannya isu-isu anak muda.

"Matlamat itu telah dicapai. Mesej reformasi dalaman yang kami bahawa sudah sampai ke semua negeri dan ribuan anggota yang kami temui di 13 lokasi yang telah kami jelajahi," kata Rafizi dalam satu kenyataan media semalam.

Rafizi berkata beliau berbesar hati kerana rakan-rakan senior di dalam Generasi Reformasi juga turut berkorban untuk tidak meneruskan hasrat bertanding dan bersama-sama menumpukan kepada usaha gerak kerja mendesak pilihan raya, sebagai tanda solidariti dengannya.

Tambah beliau keputusan yang dibuat adalah pengorbanan yang besar dan melambangkan keikhlasan mereka berjuang untuk parti, bukannya kedudukan peribadi.

"Pun begitu, gagasan yang dibawa oleh Generasi Reformasi tetap relevan dan penting untuk meniupkan nafas baru kepada AMK. Saya dan rakan-rakan akan terus berkempen dan membantu calon-calon kami yang bertanding pada pemilihan kali ini.

"Saya menyeru supaya anggota AMK untuk memberikan mandat yang besar kepada pimpinan-pimpinan berikut dari Generasi Reformasi yang akan meneruskan agenda reformasi dalaman di dalam AMK, sementara kami yang lain memainkan peranan dalam parti dalam bentuk lain," kata beliau lagi.

Rafizi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat juga menyatakan sokongan secara terbuka kepada calon Naib Pengerusi, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai kerana beliau berkongsi pendapat yang sama mengenai isu-isu anak muda dan agenda reformasi dalaman yang di bawa selama ini.

Generasi Reformasi juga menasihatkan semua anggota AMK supaya memilih calon yang paling layak bagi setiap kerusi yang ditandingi berdasarkan visi, prestasi kerja setakat ini, kemahiran urus tadbir, penerimaan pengundi muda, ilmu pengetahuan yang dalam dan keikhlasan berkhidmat tanpa mengira barisan yang dianggotai oleh mereka. Pilihlah mereka yang meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Generasi Reformasi yang mengundurkan diri daripada pertandingan adalah:

Amirudin Shari, ADUN Batu Caves (calon Timbalan Ketua AMK)

Sim Tze Tzin, ADUN Pulau Jerejak (calon Naib Ketua AMK)

Halimey Abu Bakar, mantan Ketua AMK Selangor (calon Exco)

Emmiza Hasmi Zul, mantan Timb Ketua Cabang Kampar (calon Exco)

M A Tinagaran, Ketua Cabang Ipoh Barat (calon Exco)

Sementara itu pasukan Generasi Reformasi yang masih meneruskan pertandingan dalam Pemilihan 2010 termasuk:

Kesavan Subramaniam, ADUN Hutan Melintang (calon Naib Ketua AMK)

Jaffery Jameon, Ketua AMK Kota Kinabalu (calon Exco)

Yahya Sijari, Ketua AMK Bagan Datoh (calon Exco)

Mohamad Azihan Che Seman, Timb Ketua AMK Gombak dan
EXCO AMK Selangor (calon Exco)

Saifullah Zulkifli, mantan Naib Presiden PKPIM dan
Setiausaha Biro Antarabangsa KEADILAN (calon Exco)

Naim Jusri, mantan Presiden Rakan Siswa Islah KARISMA dan Pegawai Khas ADUN Batu Tiga (calon Exco)

Sharpshooter - Hormatilah keputusan mereka, mereka mulakan dengan 'calon wahyu' mereka menarik diri juga kerana hormati tekanan 'wahyu'.

Bukan mudah untuk membuat keputusan besar seperti ini. Mereka bolehlah diumpamakan seperti 'Hang Tuah' yang taat setia tidak berbelah bagi pada 'wahyu'.

Tetapi adalah lebih afdal sekiranya mereka calonkan juga tim 'Generasi Reformasi' pada hari penamaan calon, kemudian mereka boleh buat roadshow pada penyokong mereka yang memberi harapan dan pencalonan kepada mereka dahulu kemudian barulah mereka menarik diri setelah penerangan diberi, jangan biarkan penyokong anda terpinga-pinga.

Jika ini anda lakukan, sekurang-kurangnya penyokong anda faham dan memang ini yang sepatutnya anda lakukan kerana ingatlah rakyat lebih utama dan 'kuasa rakyat kuasa keramat'.

Apa yang membimbangkan sharpshooter adalah mereka ini berpotensi dan berkaliber tetapi janganlah biarkan diri anda sebagai anak muda yang seolah-olah jiwanya masih belum merdeka. Jadilah anak muda yang berjiwa merdeka yang boleh membuat keputusan sendiri atas dasar prinsip serta misi dan visi. Jangan biarkan orang lain tentukan pendirian kita.

Anak muda wajib punyai pendirian yang tegas dan berdiri di atas kaki sendiri dan jangan berdiri di atas kaki orang lain atau bergantung kepada orang lain. Pemimpin anak muda wajib bina imej tersendiri.

Namun begitu, sharpshooter amat bersimpati dengan apa yang menimpa mereka dan ramai yang mengadu kepada sharpshooter sebagai 'otai' dalam AMK tentang betapa kecewanya mereka dengan 'tangan ghaib wahyu'.

Ayuh 'Generasi Reformasi'..yang berlalu..biarkan ia berlalu...jangan terlalu kecewa...ambil iktibar untuk masa hadapan...jangan toleh ke belakang dan biarkan diri anda di persimpangan...

Ayuh marilah bersama pasukan Chegubard 'Penerus Momentum Reformasi'.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/