SharpShooter Followers

Friday, October 08, 2010

Anwar nafi Rahimi dipaksa

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Rahimi Osman bahawa bekas pembantunya itu telah dipaksa oleh ahli-ahli PKR untuk mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat kedua yang sedang dihadapinya sekarang.

Dua hari lalu, Rahimi mendakwa dia telah dipaksa oleh beberapa pemimpin PKR termasuk peguamnya agar menandatangani akuan bersumpah pada akhir Jun 2008.

Anwar juga berkata dakwaan-dakwaan Rahimi itu tidak relevan sama sekali dalam kes yang dihadapinya sekarang.

“(Saya) menghargai keprihatinan. Tetapi ia tidak relevan kepada saya,” kata Anwar dalam emel ringkas kepada The Malaysian Insider.

Anwar yang masih berada di luar negara memberitahu, beliau menyerahkan kepada peguam-peguamnya menangani perkembangan terbaru ini.

“Peguam-peguam (saya) telah berkata mereka akan menguruskan isu ini terlebih dulu,” katanya lagi.

Difahamkan Anwar berada di New York dan akan kembali ke tanah air esok.

Petang kelmarin, Rahimi mendakwa dia telah dipaksa mengaitkan Najib dan Rosmah kes liwat kedua dihadapi Anwar dengan menandatangani dua akuan bersumpah.

Rahimi berkata dia telah dipaksa menandatangani akuan bersumpah pada 28 Jun 2008, yang mendakwa Najib dan Rosmah mendalangi konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful.

Saiful mendakwa dia diliwat Anwar beberapa hari sebelum itu dan kes itu sedang berlangsung.

Dalam laporan itu, Rahimi mendakwa dia telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah oleh Latheefa dan juga beberapa anggota parti di Quality Hotel akhir Jun 2008

Semalam, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya mendakwa laporan polis dibuat Rahimi dua tahun lalu membuktikan dia tidak pernah dipaksa untuk menandatangani akuan bersumpah mengaitkan Najib dan Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dua tahun lalu.

Latheefa Koya juga mendakwa bahawa Rahimi, bekas pembantu Anwar, secara sukarelawa telah bekerjasama dengan pasukan peguam Ketua Umum Pakatan Rakyat semasa menandatangani akuan bersumpah di Quality Hotel pada 28 Jun 2008.

“Dakwaan Rahimi bahawa akuan bersumpah telah dipinda untuk memasukkan nama Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor tanpa kebenarannya tidak benar sama sekali dan tiada kredibiliti langsung,” kata beliau.

Ini kerana menurut Latheefa, kenyataan dibuat Rahimi kepada polis pada 23 Julai 2008 di Bukit Aman mengesahkan yang dia mengetahui Mohd Saiful Bukhari Azlan pernah bertemu dengan Najib dan Rosmah.

Mohd Saiful membuat aduan polis pada 28 Jun 2008 bahawa dia diliwat oleh Anwar.

Latheefa menambah, Rahimi hanya mendedahkan maklumat itu selepas ia dikemukakan kepada polis.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/