SharpShooter Followers

Tuesday, October 12, 2010

Gerakan sudah berkubur di P.Pinang

GEORGE TOWN: Seperti pepatah Melayu "biduk lalu, kiambang bertaut", begitulah juga harapan anggota parti Gerakan di Pulau Pinang agar mereka kembali bersatu setelah mesyuarat agung luar biasa semalam menolak usul tidak percaya terhadap pengerusinya Datuk Dr Teng Hock Nan.

Bagi pemerhati politik, keputusan itu seharusnya diterima secara terbuka dan anggota parti yang mahukan perubahan kepimpinan perlulah bersabar dan menyokong kepimpinan sedia ada.

Seorang veteran parti yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, walaupun terdapat golongan yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang memihak kepada Teng, mereka wajib memberi sokongan kepada kepimpinan sedia ada sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya apa yang lebih penting ialah Gerakan harus bangkit dan bergerak untuk merampas semula semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang sebelum ini dikuasainya selama lebih 30 tahun.

"Tidak dapat dinafikan begitu ramai yang kecewa dengan kekalahan teruk Gerakan pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 tetapi kita harus menerima hakikat bahawa antara faktor kekalahan sehingga tumbangnya Barisan Nasional di Pulau Pinang adalah perpecahan sesama sendiri," kata beliau.

Lim berkata jika perpecahan itu berterusan dan anggota parti melepaskan dendam pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, harapan BN untuk merampas semula kerajaan negeri akan hanya tinggal harapan.

Dalam EGM semalam, seramai 174 anggota perwakilan mengundi untuk menolak usul berkenaan manakala 145 lagi mahu Teng digugurkan dan satu lagi undi rosak.

Turut mengundi ialah Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang sebelum itu dilaporkan tidak akan menghadirinya.

EGM itu diusahakan oleh sekumpulan anggota parti yang menggelarkan diri mereka sebagai "Suara Akar Umbi" yang tidak mahu Teng terus menerajui parti itu di Pulau Pinang.

Sebenarnya, krisis kepimpinan Gerakan dikatakan bermula dengan perebutan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selepas Koh melepaskan teraju kepimpinan negeri itu untuk bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lepas.

Menurut seorang lagi bekas pemimpin kanan parti yang tidak mahu dikenali, terdapat tiga calon yang disebut-sebut layak menjadi ketua menteri ketika itu iaitu Teng, Datuk Seri Chia Kwang Chye dan Teng Chang Yeow.

"Ketiga-tiga mereka ini berminat untuk menjadi ketua menteri dan masing- masing mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti tetapi kepimpinan parti tidak membuat sebarang keputusan dan akhirnya ia mengundang kepada perpecahan. Akibatnya semua calon Gerakan tewas dalam pilihan raya umum lepas," kata beliau.

Pulau Pinang adalah kubu Gerakan dan merupakan satu-satunya negeri yang dikuasai oleh parti itu, namun ia kini menjadi kenangan sahaja kerana kesemua calon wakil rakyatnya termasuk Koh kecundang.

Seorang bekas calon wakil rakyat Gerakan yang enggan namanya disebut berkata terdapat budaya "bunuh membunuh" menjelang pilihan raya lepas kerana mereka tidak mahu calon-calon tertentu menang.

"Saya tak tahu bagaimana hendak menggambarkan kekecewaan saya ketika berkempen pada pilihan raya lepas kerana ada penyokong parti lain dalam BN mahu kurangkan pengaruh Gerakan dan tidak mengundi calon dari parti Gerakan, begitu juga sebaliknya ada penyokong dalam parti yang sama tidak mengundi kita kerana tidak mahu kita naik, mereka mahu kita kalah, tetapi akhirnya semua kalah," kata beliau.

Katanya mereka yang "membunuh calon" itu lupa bahawa kekuatan BN bukannya terletak kepada satu parti sahaja. Di Pulau Pinang terutamanya, Gerakan, MCA dan Umno perlu menang untuk membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata krisis dalaman Gerakan dan MCA juga telah menyebabkan Umno kini terpaksa menjadi pembangkang kerana kehilangan rakan untuk membentuk kerajaan negeri walaupun mereka hanya tewas empat kerusi DUN.

"Krisis Gerakan sekarang adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan. Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang giat memulihkan kedudukan BN, terdapat anggota parti-parti dari BN yang sedang bercakaran sesama sendiri," kata beliau.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, berkata sejak pilihan raya umum 2008, Gerakan tidak memainkan peranannya sebagai pembangkang di Pulau Pinang akibat dibelenggu masalah dalaman.

"Ini sepatutnya membuka mata semua pihak dalam parti itu, yang masih terlibat dengan perbalahan dalaman.

"Mereka perlu menyusun semula strategi tentang bagaimana untuk menjadi pembangkang dan bukan bergaduh tentang siapa yang patut mengetuai peperangan," katanya.

Sivamurugan berkata pangkalan Gerakan masih di Pulau Pinang dan parti itu tidak boleh berpindah dari negeri itu walaupun ketika ini ia kelihatan lebih kuat di Johor dan Sabah.

Menurut pemerhati, krisis dalam Gerakan sebenarnya telah membuka ruang kepada dua musuh parti itu, yang pertama ialah lawannya daripada pakatan pembangkang dan yang kedua daripada kalangan bekas anggota parti yang kecewa dengan kepimpinannya.

"Untuk kembali kuat, tidak ada jalan lain kecuali anggota Gerakan bertaut semula," kata seorang pemerhati. - BERNAMA


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/