GEORGE TOWN, 11 Sept — Ribuan kenderaan terkandas lebih tiga jam di atas Jambatan Pulau Pinang akibat kebakaran kabel bervoltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Km 2 menghala ke sini hari ini.
Kejadian pukul 10.02 pagi itu turut menyebabkan trafik menghala keluar dan masuk ke pulau tersebut dilapor sesak sepanjang lebih 10 kilometer, selain lorong kanan di kedua-dua arah di atas jambatan ditutup.
Sementara itu, Naib Presiden TNB (Bahagian Penghantaran) Razimi Remeli berkata kebakaran tersebut melibatkan tiga litar berkuasa 132 kilowatt di bawah jambatan berkenaan.
“Kejadian menyebabkan gangguan elektrik di sebahagian kawasan di Bayan Baru, George Town dan Gelugor. Bagaimanapun bekalan berjaya dipulihkan dalam masa dua minit selepas kejadian,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau turut memberi jaminan bekalan elektrik adalah mencukupi dan pengguna di negeri itu tidak perlu risau.
“Pihak TNB memberi jaminan bahawa tidak akan ada gangguan bekalan elektrik akibat daripada kejadian ini kerana negeri ini menerima sumber bekalan tenaga elektrik yang mencukupi dan kami memohon maaf kepada pengguna yang terlibat,” katanya.
Katanya, selain sumber tenaga dari Seberang Perai, negeri itu turut menerima bekalan dari stesen janakuasa di Gelugor dan di kawasan Juru.
Mengenai pembaikan kabel yang terbakar, Razimi berkata TNB akan mengambil masa membaiki kabel terbabit bagi mengenal pasti punca kejadian yang pernah berlaku pada 1995 itu.
Katanya keadaan asap hitam akibat kejadian itu dan kini menyebabkan kesesakan lalu lintas juga dijangka bertambah baik dalam masa beberapa jam lagi. — Bernama
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/