SharpShooter Followers

Sunday, September 12, 2010

Ayuh...Gunakan kuasa Anak Muda sepenuhnya...

Ketua sayap muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berharap partinya yang sedang mengadakan pemilihan langsung melibatkan undi setiap ahli akan memberi generasi muda peluang luas untuk melibatkan diri secara aktif dalam kepimpinan parti. Tegas Shamsul Iskandar Mohd Akin, parti tidak harus melupakan sumbangan anak muda.

“Pemilihan parti kali ini merupakan kesempatan yang terbaik untuk melaksanakan misi penting parti.

“Kewujudan kuasa ketiga iaitu kekuatan anak muda dalam kepimpinan akan menjadikan parti ini relevan dan menjadi ikutan anak-anak muda,” kata beliau dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri.

Sehubungan itu, Shamsul Iskandar menyeru ahli-ahli PKR menggunakan kebijaksanaan dalam memilih barisan kepimpinan baru pada pemilihan bahagian dan pusat kali ini.

“Seperti yang kita sedia maklum, pada bulan November ini PKR akan menghadapi pemilihan kepimpinan parti. Proses pencalonan telah pun berlangsung pada Ramadan yang lepas.

“Sesungguhnya, ini ialah titik penting dalam meneruskan kesinambungan parti. Buat pertama kalinya setiap ahli parti seramai lebih kurang 400,000 orang akan diberikan kuasa untuk membuat pilihan barisan kepimpinan parti.

“Usaha ini ialah bagi menyuburkan demokrasi dalam parti,” kata beliau dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri.

Shamsul Iskandar yang masih belum mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatannya memberitahu, pemilihan langsung adalah bukti kepimpinan parti serius menegakkan demokrasi yang sebenarnya dan ia bukanlah suatu slogan kosong semata-mata.

Shamsul Iskandar meminta ahli-ahlinya menggunakan peluang ini untuk merencana dan merancang pembangunan parti supaya lebih kuat dan kukuh.

“Parti yang kuat dan kukuh akan terus mendapat kepercayaan dari rakyat.

“Jadikan pertandingan kali ini ialah pertandingan antara saudara dan adik-beradik, yang menang kita nobatkan yang kalah jangan kita pinggirkan.

“Justeru, saya berharap hasrat dan cita-cita murni untuk memperkasa parti sebagai natijah daripada pemilihan ini sepatutnya dipelihara,” katanya.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/