BUKIT MERTAJAM, 5 Sept — Sambil merujuk kepada penyebaran gambar ‘superimpose’ Ketua Menteri Pulau Pinang menyembelih lembu korban, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan buruk semakin ketara ditonjolkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mempengaruhi rakyat supaya menyokong mereka.
Ketua Umum Pakatan Rakyat ini berkata, fitnah yang semakin berleluasa kebelakangan ini bukan saja menggambarkan imej buruk parti tersebut tetapi juga menjatuhkan moral kepimpinan mereka.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menggesa masyarakat khususnya orang Melayu supaya tidak mempercayai segala muslihat terdesak yang cuba dipelopori oleh Umno dan BN.
Yang terbaru, kata beliau, gambar yang dilihat ditindih, disebarkan oleh mereka tidak bertanggungjawab seolah-olah menunjukkan Lim Guan Eng menyembelih lembu korban adalah contoh yang nyata dan ketara.
Pagi semalam, Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim mencabar Pakatan Rakyat menunjukkan bukti berhubung tuduhan mereka yang mengatakan Umno menyebarkan gambar seumpama itu.
Azhar yang juga ketua pembangkang DUN Pulau Pinang menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengetahui mengenai gambar yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan dan
menegaskan bahawa itu bukan cara Umno untuk mendapatkan populariti.
“Tuduh menuduh ini bukan cara kami (Umno), kalau benar gambar itu Umno yang buat, tunjukkan bukti.
“Mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu lain bagi menutup kesalahan sendiri juga bukan kerja Umno, ini kerja Pakatan pembangkang,” kata Azhar.
Kehadiran wakil rakyat bukan Islam di masjid dan surau, dan khutbah di masjid Pulau Pinang adalah antara isu yang dibangkitkan sebelum ini.
“Dalam isu orang bukan Islam memasuki surau dan masjid ia bukanlah satu perkara baru. Perkara ini sudah lama menjadi lumrah untuk mendekati masyarakat Islam.
“Oleh kerana Umno dan BN sudah tidak lagi mempunyai isu dan modal politik, maka perkara ini mereka sensasikan sedangkan pada hakikatnya ada antara mereka sendiri yang mencemari institusi agama tersebut,” kata Anwar.
Penasihat PKR ini ditemui ditemui selepas beliau menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 77 pegawai masjid dan 22 penggali kubur di bahagian DUN Penanti, di Masjid Tuan Abdullah, Penanti petang semalam.
Tambah beliau, kerana situasi yang terdesak maka apa saja yang mampu untuk memberi kemenangan dan sokongan kepada Umno dan BN akan mereka gunakan.
Sehubungan itu Anwar menggesa umat Islam khususnya dalam bulan Ramadan ini supaya meninggalkan segala perbuatan fitnah yang akan menghilangkan pahala ibadat puasa.
“Jangan kita ikut amalan yang sedang dilakukan oleh Umno dan BN tanpa mengambil kira waktu dan ketika.
“Fitnah adalah menjadi amalan rutin mereka bagi mencari pengaruh,” katanya lagi.
Mengenai lawatan beliau ke Sarawak baru-baru ini, Anwar berkata, penerimaan masyarakat di sana adalah menggalakkan.
“Kita mempunyai peluang di sana, namun begitu media tidak bersikap adil apabila mereka tidak melaporkan perkara yang benar.
“Namun begitu kita akan terus mempertingkatkan usaha dalam menapak di sana menjelang pilihan raya umum yang akan datang bagi membela nasib rakyat di sana,” ujarnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/