SharpShooter Followers

Friday, October 01, 2010

11 Adun UMNO akan serah semua gaji mereka.....?

11 ADUN UMNO Pulau Pinang Dicabar Mengembalikan Semua Gaji Mereka Kepada Kerajaan Negeri

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan simpati kepada warga emas, khususnya di DUN Penaga, yang diwakili oleh Dato’ Azhar Ibrahim yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Pulau Pinang. Baru-baru ini, seramai 40 orang warga emas dari DUN tersebut telah memulangkan semula wang Skim Penghargaan Warga Emas yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Simpati kami adalah kerana mereka ini telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN mereka yang melatah berasaskan maklumat yang tidak betul. Ini bukti jelas, bahawa UMNO sanggup buat apa saja, hingga sanggup menidakkan hak rakyat, semata-mata mahukan populariti politik murahan!

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang juga merasa hairan, kenapa dengan tiba-tiba UMNO Pulau Pinang menjadi begitu prihatin tentang permasalahan rakyat? Apa bukti hitam-putih yang menyatakan wang dapatan dari sumber judi itu disalurkan kepada Program Penghargaan Warga Emas dan umat Islam di negeri ini? Ini menunjukkan sikap UMNO yang cukup gemar ‘hentam keromo’. Jika kita lihat sendiri paparan surat balas dari Setiausaha Sulit Ketua Menteri kepada Penang Turf Club (yang dipaparkan dalam pisau.net), jelas sekali dinyatakan di situ ia adalah sumbangan untuk program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) dan bukannya untuk Program Penghargaan Warga Emas.

Kami juga sudah mendapat penjelasan daripada YB Phee Boon Poh, selaku Exco Kebajikan Negeri, bahawa Kerajaan Negeri masih menyimpan sebanyak RM2.4 Juta wang peruntukan untuk Rakan Anti Kemiskinan (RAK), tanpa mengganggu peruntukan untuk Program Penghargaan Warga Emas. Kenyataan ini juga diperkuatkan dengan penjelasan dari Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus yang menyatakan wang sumbangan RM2 Juta dari Penang Turf Club itu tidak akan disalurkan kepada umat Islam dalam program RAK.

Justeru, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang di sini ingin menyelar sikap hipokrit yang dizahirkan oleh pemimpin UMNO, yang berlagak teliti dalam hal agama, walhal merekalah yang paling membelakangkannya. Jika benar mereka serius terhadap perjuangan menyelamatkan umat Islam dari menerima wang dari sumbangan judi, hiburan dan arak, mereka dicabar melakukan perkara-perkara berikut;

1. Mencabar UMNO agar mengarahkan semua staf dan kakitangan Utusan Malaysia, (lidah rasmi parti itu) untuk memulangkan semua gaji mereka, kerana ada unsur judi dalam penghasilan gaji mereka, menerusi iklan-iklan 4 nombor ekor di akhbar itu.

2. Mencabar UMNO agar mengarahkan semua GLC-GLC di bawah pengaruh mereka agar memulangkan semua pendapatan gaji semula mereka kepada Perbendaharaan Kerajaan Malaysia, kerana tidak ada satu pun gaji mereka ini boleh dipastikan bersih dari percampuran dengan hasil cukai judi, hiburan dan arak.

3. Mencabar agar 11 ADUN UMNO di Pulau Pinang yang melabel diri mereka sebagai ‘Pembela Agama, Bangsa & Negara’ agar memberi contoh tauladan awal dan terbaik, dengan mengembalikan semua gaji dan elaun Wakil Rakyat mereka kepada Perbendaharaan Kerajaan Negeri, sebab bagi mereka, seolah-olah tidak ada satu pun yang ‘halal’ dari Kerajaan Negeri.

Cabaran ini dibuat, untuk menjawab serangan-serangan UMNO, dan kita tahu ini adalah satu lagi ‘peluru’ terdesak UMNO yang dihalakan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, Kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat di Pulau Pinang.

Ini juga isyarat jelas, betapa UMNO-Barisan Nasional yang memerintah Pulau Pinang selama 52 Tahun cukup ‘terpukul’ dengan keupayaan Kerajaan Negeri berjimat sebanyak RM20 Juta untuk program ini, dan dengan wang penjimatan inilah, ia terus dikongsikan bersama dengan rakyat.

Cabaran ini juga dibuat untuk memberi peluang kepada UMNO membuktikan diri mereka adalah ‘Pembela Melayu yang sebenar’, seperti yang selalu mereka war-warkan. Kami juga menyeru agar UMNO benar-benar membantu merubah nasib orang Melayu dengan bersungguh-sungguh dengan membela jatuh bangun mereka dan bukan hanya berlagak hebat di Televisyen dan di dada-dada akhbar.

Kami Yang Membawa Suara Rakyat;


SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha,
Angkatan Muda KEADILAN
Pulau Pinang (AMKPP)

YB NG WEI AIK
Setiausaha,
Pemuda Sosialis DAP
(DAPSY) Pulau Pinang

MOHD. NOR B. HARUN
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS (DPP) Pulau Pinang


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/