SharpShooter Followers

VIDEO CLIP PERTAMA JINGGA 13 YANG PALING POPULAR

Wednesday, October 06, 2010

TKM 1 bidas umno tipu Melayu

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman membidas tindakan Umno yang dilihat melampaui batasan berkaitan wang penghargaan kepada warga emas sebanyak RM100 dengan mendakwa dari sumber judi.

Menurutnya, usaha yang sedang diambil oleh Umno mengutip semula wang tersebut adalah berniat jahat dan mempunyai motif tertentu di sebalik keghairahan mereka membangkitkan isu tersebut.

"Mereka senantiasa mengelirukan pemikiran masyarakat khususnya umat Islam untuk menjerat dan memerangkap kerajaan negeri agar terpedaya dengan perangkap yang mereka pasang.

"Sekiranya kita tidak beri wang penghargaa tersebut, maka mereka akan buat tuduhan kita tidak berikan. Setelah diberikan pula maka mereka putarbelitkan isu ini dengan mendakwa ia adalah hasil dari sumber judi,” katanya

Sebenarnya, kata beliau Umno gentar dengan sokongan yang rakyat berikan terhadap kerajaan negeri, termasuklah dalam Program Penghargaan Warga Emas dan Miskin Tegar yang berjaya dilaksanakan.

Beliau yang juga merupakan Adun Penanti optimis Umno akan terus berusaha dengan tipu daya bagi memfitnah kerajaan negeri kerana hanya itu saja cara yang ada bagi mereka meraih kembali sokongan yang telah pudar selama ini.

Katanya lagi, kedudukan kewangan negeri hasil dari lebihan yang ada sejak 2008 mengikut pecahan ialah hasil sebenar sebanyak RM371.17 juta, untuk pengurusan sebanyak RM283.15 juta di mana lebihan yang ada sebanyak RM88.02 juta. Manakala jumlah simpanan terkumpul pula ialah RM461.61 juta.

Bagi tahun 2009 pula hasil sebenar ialah sebanyak RM376.51 juta, pengurusan ialah RM299.17 juta. Sebanyak RM77.34 juta adalah lebihan yang ada, simpanan terkumpul pula ialah sebanyak RM538.95 juta.

"Dalam belanjawan 2010 pula, RM20 juta telah pun diperuntukkan untuk Program Penghargaan Warga Emas yang datangnya dari hasil penjimatan urus tadbir serta langkah anti rasuah yang telah dilaksanakan," ujarnya lagi.

Sebelum ini, dakwaan oleh Umno bahawa wang yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada warga emas dan Program Miskin Tegar dari sumber judi telah dinafikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan juga Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Baru-baru ini, seramai 100 pemuda yang menggelarkan diri mereka sebagai Pemuda Pulau Pinang telah menyambut ketibaan Lim Guan Eng, yang baru pulang dari Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dengan sepanduk dan bantahan kerana tidak berpuas hati dalam isu sumber wang yang didakwa judi tersebut.

Sehubungan itu Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob juga turut menasihatkan semua pihak supaya tidak terus mempolitikkan isu wang sumbangan kepada warga emas oleh kerajaan negeri kerana dibimbangi boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.




* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/