SharpShooter Followers

Saturday, October 02, 2010

Azmin dan Zaid..malulah sikit dengan pimpinan PAS

Persaingan berpuak dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula memuncak dengan dua pemimpin pusat parti itu menggesa agar Datuk Zaid Ibrahim, yang menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden, tidak dipinggirkan menerusi serangan bertubi-tubi.

Naib Presiden Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) N. Gobalakrishnan yang mempertahankan Zaid daripada serangan kumpulan yang memihak Azmin Ali mempersoalkan kenyataan terbuka Naib Presiden Dr Lee Boon Chye.

Azmin yang mendahului senarai pencalonan juga merupakan naib presiden.

“Sungguh aneh pemimpin-pemimpin ini bercakap kepada media mengenai isu ini. Mengapa sekarang Lee mengkritik Zaid (hanya) kerana memberi temu bual kepada media?” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Padang Serai ini mendakwa “adalah jelas Zaid secara terus-menerus dipinggirkan dalam parti.”

Cabang Padang Serai akan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan Ahad ini selepas ditangguhkan dua minggu lalu.

“Pelbagai insiden ketika pemilihan cabang PKR di seluruh negara sejak dua minggu lalu menunjukkan bahawa sentimen anti-Zaid sedang diatur sedemikian rupa dalam parti oleh mereka yang berjawatan tinggi dalam parti,” kata beliau lagi.

Gobalakrishnan berkata, persoalan sekarang ialah siapa yang bertanggungjawab terhadap perkembangan tersebut sekarang ketika PKR mengadakan pemilihan secara langsung.

“Menilai daripada kenyaatan-kenyataan yang datang daripada pemimpin kita sendiri termasuk Ketua Umum yang memberi amaran kewujudan kuda-kuda Trojan dalam parti, saya hanya boleh merumuskan bahawa orang-orang ini sememangnya dalam satu kumpulan — kumpulan yang mahukan Azmin menewaskan Zaid dalam saingan jawatan timbalan presiden,” katanya lagi.

Gobalakrishnan seterusnya berkata adalah “saya salah dalam membuat andaian ini?”

“Berdasarkan apa yang berlaku dalam parti, saya rasa tidak. Saya sudah mula mempercayai cerita-cerita mengenai Azmin adalah betul sekarang,” katanya yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden.

Katanya, adalah sesuatu yang menyedihkan buat parti kerana terpaksa melupakan tujuan dan prinsip hanya kerana mahu memastikan Azmin menang mudah dalam pemilihan bagi jawatan tertinggi parti.

“Saya berharap ia tidak berlaku. Biarkan PKR kekal bebas dan terbuka menghadapi pemilihan,” katanya lagi.

Kata Gobalakrishnan, ini bukan kali pertama kenyataan-kenyataan sentimen anti-Zaid muncul di kalangan pemimpin parti.

“Malah pengarah komunikasi parti seperti Nik Nazmi Nik Ahmad memilih untuk menyertai serangan ke atas Zaid Ibrahim, yang memperlekehkan jawatannya yang sepatutnya kekal berkecuali.

“Dan, kita ada timbalan presiden Dr Syed Husin Ali yang menyertai senarai (yang mengecam Zaid). Kemudian Naib Presiden R. Sivarasa, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi Tian Chua yang meneruskan serangan,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan bertajuk “lebih banyak pemimpin pembaharuan diperlukan, Jeffrey menggesa kesemua pemimpin agar menghentikan serangan bertubi-tubi terhadap persaing jawatan timbalan presiden Zaid.

“Saya ada membaca kenyataan naib presiden Dr Lee Boon Chye semalam dan saya merasakan kesesuaian masa kenyataan itu sungguh malang sekali khususnya dengan mesyuarat cabang sedang berlangsung hujung minggu ini,” kata beliau.

“Saya juga ada membaca pelbagai wawancara yang diberikan oleh Zaid kepada media.

“Saya merasakan ia membawa aspirasi beliau kepada parti. Beliau tidak mempersalahkan sesiapa (dalam menghadapi saingan) sebagaimana dikatakan oleh Lee,” kata pemimpin dari Sabah ini.

Justeru tegas Jeffrey, kesemua pemimpin parti perlu mengalu-alukan saranan-saranan konkrit oleh mana-mana pihak untuk memperbaiki perjuangan parti.

“Sesetengah saranan Zaid boleh membantu kita untuk mencapai matlamat buat rakyat.

“Parti memerlukan lebih banyak pemimpin yang mahu membawa pembaharuan. Ia juga memerlukan pemimpin berfikiran terbuka, yang boleh bergerak ke depan,” katanya lagi.

Semalam, Zaid menjadi tumpuan kenyataan dua pemimpin kanannya ekoran beberapa tulisan dan pandangan terbuka beliau yang dilihat sebagai menjejaskan imej parti itu termasuk pemilihan secara langsung “bersejarah” yang sedang berlangsung.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu yang mengadakan mesyuarat Biro Politik malam tadi tidak memutuskan sebarang tindakan disiplin ke atas Zaid berhubung kenyataan beliau baru-baru ini mengenai pemilihan yang sedang berlangsung.

“Biro Politik menegaskan juga bahawa tiada arahan, aduan mahupun apa–apa keputusan yang telah diambil untuk apa–apa tindakan displin terhadap Zaid Ibrahim dan menyangkal fitnah dan maklumat palsu berkenaan perkara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.

Dalam kenyataannya bertajuk “Membalas kritikan terbaru Zaid Ibrahim terhadap PKR dan pemilihan parti” berkata, parti itu kebingungan dengan keluhan anggota Majlis Pimpinan Pusat itu yang tidak habis-habis kepada pihak akhbar tentang parti dan pemilihan parti yang sedang berlangsung, termasuklah wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia yang pernah disebut beliau sebagai akhbar “Gestapo”.

“Apakah beliau lupa bahawa dirinya merupakan subjek kempen kotor Utusan, selama pilihan raya kecil Hulu Selangor dulu?

“Apakah beliau lupa serangan bertubi–tubi Utusan terhadap Pakatan Rakyat yang menyebabkan Pakatan tidak mengendahkan akhbar tersebut?” kata beliau yang dicalonkan untuk mempertahan kerusinya.

Lee menambah, Zaid turut membuat sindiran kasar bahawa sesetengah pemimpin termasuk Tian Chua dan Gobalakrishnan telah dihalang daripada bertanding jawatan cabang PKR sedangkan mereka mereka bebas bertanding dan berkempen sesuka mereka.

Sementara 34 cabang akan mengadakan mesyuarat esok dan lusa dalam pusingan terakhir manakala pusat pula mulai hujung bulan ini.

Sharpshooter :- Antara Azmin, Zaid dan Mustaffa, masing-masing ada kelebihan dan kelemahan, tidak ada pemimpin yang sempurna. Berkempenlah secara sihat. Ingatlah umno sentiasa mengambil kesempatan dan akan mengeruhkan suasana dan mahu menghancurkan Keadilan.

Janganlah pula nanti menang sorak kampong pula tergadai...gajah sama gajah bergaduh, kancil mati ditengah-tengah.

Contohilah PAS sewaktu mereka berkempen dalam pertandingan. Apakah anda sebagai pimpinan tinggi Parti Keadilan tidak merasa malu dengan Pimpinan PAS tentang apa yang berlaku sekarang?

Disiplin dan akhlak Pimpinan PAS wajar dicontohi sewaktu mereka berkempen. Ustaz Nasa, Mat Sabu dan Husam Musa juga pernah bertanding 3 penjuru untuk jawatan no 2 dalam PAS tetapi tidaklah sekecoh Azmin dan Zaid. Mustaffa kelihatan lebih tenang.

Mereka juga tidak sependapat adakalanya tentang beberapa isu dan hal dalaman parti dan mereka ada pengikut masing-masing, mereka juga berkempen tetapi mereka tidak sekecoh sangat seperti Keadilan. Tarbiah dalam PAS wajib dicontohi oleh Keadilan.

Tidak boleh dinafikan juga, media arus perdana milik umno akan mengeruhkan lagi suasana kerana mereka tahu kekuatan Keadilan kini amat menggerunkan BN dan mereka tahu laporan risikan tentera, SB dan badan-badan penganalisa politik di Malaysia mengatakan bahawa dalam PRU 13, Pakatan Rakyat akan berjaya menawan Putrajaya.

Ingatlah jawatan itu bukan satu kemegahan tetapi adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat.

Katakan benar walaupun pahit....Takbir.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/