SharpShooter Followers

Friday, October 01, 2010

Lawan tetap lawan - Mustaffa Kamil Ayub

Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub tetap 'berkeras' bertanding jawatan nombor dua parti itu walaupun agak ketinggalan menerima pencalonan daripada cabang berbanding pesaingnya Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim.

Mustaffa mengambil keputusan itu, antaranya supaya dapat terus menyumbang ke peringkat yang lebih tinggi dalam PKR.

"Saya yakin, kesinambungan perjuangan perlu untuk meneruskan sumbangan yang bagi saya cukup besar oleh timbalan presiden, Senator Dr Syed Husin Ali.

"Saya berharap, anggota-anggota parti boleh membantu saya memperkukuhkan kepemimpinan parti bersama Saudara Anwar (Ibrahim) dan (Datuk Seri) Dr Wan Azizah (Wan Ismail)," katanya.

Mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Mustaffa berkata, walaupun ketinggalan dalam pencalonan bahagian, beliau yakin akan mendapat sokongan pada hari pengundian nanti.

Beliau yang juga bekas naib Majlis Belia Malaysia (MBM) mengajak ahli untuk "mengangkat nilai moderat, inklusif, sederhana, kasih sayang, perpaduan parti, semak dan imbang dalam parti" dalam pemilihan kali ini.

"Sekiranya saya diberikan amanah memikul jawatan berat ini, dengan sokongan teman-teman, Insya-Allah kita akan perkukuhkan politik ini sebagai suatu kesinambungan perjuangan PKR," katanya.

Bacaan ahli

Setakat 159 cabang yang telah mengadakan mesyuarat, Mustaffa - kini naib presiden PKR - memperolehi 16 pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Dua lagi tokoh - yang kini mendahului pencalonan - Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim masing-masing memperolehi 90 dan 33 pencalonan.

Mengulas mengenai kedudukan beliau setakat ini yang ketinggalan di belakang Azmin dan Zaid, Mustafa berkata setiap calon yang bertanding itu mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

"Saya yakin ahli-ahli dapat menilai pendekatan dan gaya sebagai timbalan presiden. Kekuatan saya, saya tak boleh sebut. Saya suruh ahli menilai.

"Saya yakin ahli ada bacaan tersendiri. Ada kebijaksanaan. Pada saya, mereka ada nilai yang mereka pegang," katanya.

Ditanya sama ada kekalahannya di peringkat cabang akan menjejaskan peluangnya, Mustaffa menjawab kekuatan di cabang tidak menggambarkan kekuatan di peringkat nasional.

Lagipun, cabang beliau Pasir Salak tetap mencalonkannya bertanding jawatan timbalan presiden walaupun tewas sebagai ketua cabang, jelas Mustafa.

"Ini kerana, satu ahli mempunyai satu undi," kata bekas aktivis NGO Islam itu.

Tolak kompromi

"Saya tidak ambil hati dengan apa yang berlaku di (cabang) Pasir Salak. Saya tidak mempertikaikan hak ahli (untuk memilih).

"Mungkin ada rahmat apa yang berlaku, kerana saya boleh menumpukan perhatian kepada (pemilihan) jawatan timbalan presiden."

Mustaffa bagaimanapun enggan mengulas sama ada terdapat unsur-unsur sabotaj dalam pemilihan ketua cabang baru-baru ini sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada "teman-temannya" untuk membuat bantahan.

Mengulas mengenai sama ada beliau mempunyai regu dalam pemilihan kali ini, Mustaffa berkata beliau "tidak menawarkan regu" untuk tujuan itu.

Katanya, semua calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam parti mempunyai kekuatan yang tersendiri.

"Semua yang menawarkan diri adalah teman-teman saya dalam perjuangan," katanya

Ditanya mengenai kedudukan beliau sekiranya beliau tewas dalam pemilihan bagi jawatan tersebut Mustaffa berkata beliau akan terus berkhidmat kepada parti dalam bentuk yang lain.

Mustaffa yang juga bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan keputusan beliau itu adalah muktamad dan tidak akan menarik diri walaupun mungkin ada usaha menawarkan berkompromi selepas ini.




* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/