Dan setengahnya pula cuba mengambil kesempatan daripada jawatan wakil rakyat yang dipegang khususnya di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat. Dan paling menyedihkan bila mana wujud segelintir wakil rakyat yang tergamak mengkhianati undi rakyat dan parti mereka hanya semata-mata kerana kecewa ekoran runtunan nafsu gila kuasa dan gila populariti menguasai diri.
Begitulah juga apa yang sedang melanda PKR mutakhir ini dalam pemilihan parti khususnya untuk jawatan Timbalan Presiden. Belum apa-apa dah wujud 'pertembungan' yang tak kurang hebatnya antara muka lama dan baru. Zaid Ibrahim dan Azmin Ali. Serangan peribadi dan amaran terhadap Zaid Ibrahim baru-baru ini menjelaskan kepada kita bahawa 'budaya UMNO' dalam PKR masih kuat rasukannya.
Persoalannya mengapa Zaid mahu dihalang dari bertanding jawatan NO.2? Apakah Zaid dilihat mampu menewaskan Azmin Ali dalam pertandingan tersebut sehingga dilaporkan wujud cubaan untuk mengupah seorang blogger Melayu popular supaya menulis artikel yang memburuk-burukkan peribadi mantan Menteri Undang-Undang itu.
Apakah Zaid Ibrahim tidak layak untuk jawatan NO.2 parti hanya atas alasan beliau orang baru? Adakah jawatan No.2 hanya layak dipegang oleh orang lama seperti Azmin Ali yang juga orang kanan Anwar? Kalau inilah yang dijadikan sebagai guideline oleh perwakilan untuk memilih sapa yang lebih layak, bermakna para perwakilan PKR masih kurang bijak dalam menilai kredibiliti pimpinan mereka.
Kita ambil contoh bagaimana bijaknya Mahathir dalam percaturan politiknya bagi memastikan UMNO terus relevan sebagai sebuah parti yang dominan dalam persada politik tanahair. Selepas lebih kurang setahun dia menjawat jawatan PM, langkah pertama yang dibuatnya ialah memujuk Anwar Ibrahim untuk menyertai UMNO kerana beliau sedar kredibiliti Anwar Ibrahim sebagai bekas pemimpin pelajar dan Presiden ABIM mampu menarik sokongan majoriti umat Islam dalam negara kepada UMNO dan secara tidak langsung 'membunuh' sokongan pengundi Islam kepada PAS.
Dan beliau berjaya menarik Anwar masuk UMNO. Kita sendiri boleh lihat betapa pantasnya Anwar menaiki tangga takhta dalam UMNO sehingga memintas pemimpin yang lebih senior. Dan takde sesiapa yang boleh menafikan kewibawaan Anwar ketika itu, hatta PAS sendiri. Memang cukup sukar bagi PAS menembusi kubu-kubu UMNO di seluruh negara sehingga Anwar dipecat pada 2 September 1998.
Dalam konteks pemilihan pucuk pimpinan PKR ini, para perwakilan haruslah bijak membuat keputusan demi kelangsungan survival parti itu sendiri. Tersalah membuat pilihan akan mengundang padah hujungnya.
Perlu diingat wujudnya PKR kerana mahu menegakkan keadilan dan membela kepentingan rakyat. Bukannya mencari kepentingan peribadi. Malangnya apa yang berlaku membuktikan sudah wujud 'bunga-bunga' gila kuasa dan kepentingan sendiri. Jika senario ini tidak dibenteras segera, akhirnya kita akan lihat semakin ramai ahli dan penyokong PKR kembali menyokong UMNO dalam PRU13 kelak. Natijahnya parti itu sendiri akan mengalami nasib serupa dengan Semangat 46.
Seharusnya seluruh wakil rakyat PKR bermuhasabah diri dengan kemenangan besar yang dikurniakan oleh Allah dalam PRU12 lalu. Bukannya terus mendabik dada dan mendongak ke langit sambil merasakan parti semakin kuat ekoran sokongan rakyat. Namun itulah hakikat yang melanda PKR selepas PRU. Nasib baiklah 'ditampar' awal-awal oleh Allah ekoran tindakan beberapa wakil rakyatnya melompat keluar menjadi bebas dan BN. Sejak itu, barulah si Anwar mengaku yang dia gopoh dan tersilap dalam memilih calon-calonnya yang bertanding dalam PRu12. Kalau tak, Anwar pun terus ego dan tak sabar-sabar nak jadi PM.
Berbalik soal 'pertembungan' Zaid - Azmin, secara peribadi saya melihat Zaid lebih layak untuk jawatan Timbalan Presiden. MUngkin tidak keterlaluan jika boleh saya sebutkan di sini yang keikhlasannya lebih tinggi berbanding Azmin Ali. Jika nak diambil kira soal pengalaman berpolitik, apa kurangnya Zaid. Kalau nak dibandingkan soal jawatan sewaktu dalam UMNO, saya kira Zaid lebih 'gah' daripada Azmin. Antara bekas Menteri dengan bekas Setpol TPM.
Kalau nak dikira disudut jawatanlah, bukan senang seorang Menteri Kabinet nak letak jawatan begitu saja hanya kerana rasa tidak puashati atas tindakan kerajaan menahan 3 individu di bawah Akta ISA. Namun itulah yang dilakukan oleh Zaid Ibrahim atas dasar prinsipnya. Secara kebetulan beliau juga seorang peguam.
Dan kita juga tidak pernah mempersoalkan keikhlasan Azmin Ali yang sanggup senang dan susah dengan bosnya Anwar sejak hari pertama dipecat. Namun sejak beberapa bulan lalu, Naib Presiden PKR itu dilihat mula berubah sikap dengan beberapa tindakannya yang jelas cuba 'menggugat' keharmonian kerajaan PR Selangor yang diketuai oleh MB Khalid Ibrahim sehingga Anwar sendiri terpaksa membuka mulut memberi kata dua padanya. Bukan setakat itu saja. Malahan sewaktu PRK Hulu Selangor, ada laporan menyebut penyokong Azmin 'memboikot' Zaid Ibrahim yang telah dipilih oleh Anwar sebagai calon.
Walaupun semalam Anwar membuat kenyataan yang beliau sendiri tidak menyokong mana-mana pihak untuk jawatan No.2, namun saya percaya jauh di sudut hatinya mahukan Zaid Ibrahim. Sebagai seorang yang begitu berpengalaman dalam dunia politik dan juga bijak, saya kira Anwar lebih percaya kepada kewibawaan dan kredibiliti Zaid. Mungkin juga Anwar dah mula terhidu 'bau' percaturan politik Azmin yang dikira boleh menggugat parti di masa mendatang.
Saya pernah menelefon seorang 'sifu' politik dan meminta pandangannya berhubung tindakan Azmin mengkritik dan membidas secara terbuka kepimpinan MB Khalid Ibrahim di Selangor. Jawapan yang diberi lebih kurang begini "Tindakan bodoh dan gelojoh serta menampakkan sikap gila kuasa serta membuka ruang kepada musuh melakukan serangan. Inilah masalahnya bila wakil rakyat PR mula lupa siapa diri mereka sebenarnya.
Baru diuji sedikit dengan kejayaan memerintah beberapa negeri tapi dah mula nak tunjuk taring masing-masing. Kita kena ingat dalam politik ini mesti kena sabar dan jangan gelojoh dalam setiap tindakan. Tersilap langkah akan menikam diri sendiri serta merugikan parti. Juga jangan terlalu yakin dengan sokongan rakyat pada kita dalam PRU lalu sebab seribu kemungkinan boleh berlaku.
Apakah kita yakin rakyat yang mengundi PR dalam 2004 akan kekal, khususnya Melayu? Ini soal hati manusia. Takde sapa yang tahu. Mungkin kita lihat ribuan rakyat hadir ke program anjuran PR tetapi itu bukan jaminan mereka menyokong kita selagi mana tidak menjadi ahli. Sedangkan hari ini yang dah jadi ahli pun boleh berpatah balik."
Jalan terbaik bagi memastikan PKR terus kukuh dan berpengaruh adalah dengan cara memilih barisan kepimpinan baru yang diyakini ikhlas dan berwibawa.
Wallahu'alam..
Dari NegaraKita.com
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/